ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam keretanya yang terbabas di dalam parit di kebun kelapa sawit di Matang, Taiping, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam keretanya yang terbabas di dalam parit di kebun kelapa sawit di Matang, Taiping, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI orang kurang upaya (OKU) berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam keretanya yang terbabas ke dalam parit berair di Jalan Matang di Taiping, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Mazli Mutallib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.50 pagi.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi mendapati seorang lelaki OKU berusia 60-an terperangkap di dalam kereta Kia Optima yang terbabas ke dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit.

“Mangsa yang bersendirian dipercayai dalam perjalanan meninjau kebun kelapa sawitnya yang ditenggelami air akibat banjir baru-baru ini.

“Kenderaan dipandu mangsa dikatakan terbabas ke dalam parit dan dia terperangkap di dalam keretanya.

“Orang awam yang melihat kejadian itu segera menghubungi bomba bagi mendapatkan pertolongan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mazli berkata, anggota bomba mengambil masa 20 minit bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap sebelum menyerahkannya kepada petugas EMRS (Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan) untuk pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata, mangsa yang tidak cedera kemudian diserahkan kepada ahli keluarga dan operasi ditamatkan pada 12.32 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:40 PM