ANGGOTA bomba mengusung wanita warga emas OKU yang terperangkap akibat banjir di Kampung Salak Baru, Trong, Taiping, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba mengusung wanita warga emas OKU yang terperangkap akibat banjir di Kampung Salak Baru, Trong, Taiping, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Muhammad Apendy Issahak


TUJUH sekeluarga termasuk wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) dan dua kanak-kanak terperangkap selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Salak Baru, Trong di Taiping, hari ini.

Banjir melanda kampung berkenaan susulan hujan lebat beberapa jam bermula 2 petang tadi mengakibatkan air naik setinggi kira-kira dua meter.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Taiping berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.08 petang dan terdapat mangsa yang terperangkap dalam rumah yang dinaiki air.

“Tujuh mangsa terdiri daripada seorang wanita warga emas OKU, tiga wanita dewasa, seorang lelaki dan dua kanak-kanak perempuan didapati terperangkap dalam sebuah rumah akibat banjir.

“Keluarga berkenaan tidak dapat keluar dari rumah kerana air naik setinggi kira-kira 1.5 meter,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat bertindak menyelamatkan mangsa dengan mengusung wanita OKU berkenaan manakala penghuni lain dipimpin keluar ke tempat selamat.

“Kesemua mangsa kemudian dipindahkan ke rumah saudara mara yang berhampiran.

“Operasi menyelamat yang diketuai Pegawai Bomba Kamarulhisham Kamarudin tamat pada 7.43 malam,” katanya.

Katanya, keadaan banjir di lokasi kejadian mulai surut termasuk di Temelok dan Kampung Padang Gajah, namun paras air di Sungai Rotan masih sama dan hujan sekitar Kuala Trong mulai reda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:38 PM