TIANG elektrik yang dipercayai dirempuh lori . FOTO Recqueal Raimi
TIANG elektrik yang dipercayai dirempuh lori . FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi


LEBIH 40 kampung di Kiulu dan Tamparuli, Tuaran mengalami gangguan bekalan elektrik hampir tiga jam, selepas tiang elektrik tumbang di Jalan Tamparuli - Kiulu di Kampung Kionsom dan Kampung Rumindako, Kiulu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, satu tiang tumbang di Kionsom, manakala dua lagi di Kampung Rumindako dikatakan berpunca akibat dirempuh sebuah lori.

Penduduk Kampung Rumindako, Kiulu, Saitin Bongkok, 56, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di beranda rumahnya menyedari kejadian selepas terdengar bunyi rempuhan.

"Rumah saya terletak di kawasan bukit, jadi saya nampak jelas ia dirempuh lori walaupun agak sedikit jauh dan gelap.

"Beberapa penduduk lain turut menyedari kejadian tersebut," katanya.

Saitin yang juga guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu berkata, sebahagian pengguna kenderaan terpaksa melalui laluan alternatif di Jalan Logkou Lama - Jalan Kampung Bungaliu berikutan dua tiang elektrik yang tumbang merintangi dua arah jalan di kampung berkenaan.

Penduduk Kampung Rangalau Baru, Rayner Raimi, 18, berkata, bekalan elektrik hanya ada semula kira-kira jam 3 pagi, namun belum sepenuhnya.

Sementara itu, Jurutera Penyelenggaran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) daerah Tuaran, Mahathir Mohd Tazrin berkata, pihaknya menerima aduan penduduk di dua lokasi berkenaan mengatakan tiang elektrik tumbang dan terputus bekalan elektrik.

Katanya, kemungkinan, ia berpunca dari lori yang sama kerana berlaku pada waktu yang hampir sama dengan waktu kejadian.

"Setakat ini, kami masih dalam proses menyediakan bahan material untuk membaiki kerosakan".

"Saya juga akan mengerahkan pekerja ke lokasi untuk mengadakan tinjauan dan melakukan penyelenggaraan secepat mungkin," katanya dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 10:26 AM