Najib      meninjau  tapak pembinaan Jambatan Kampung Pukak Kiulu, semalam.
Najib meninjau tapak pembinaan Jambatan Kampung Pukak Kiulu, semalam.
Mohd Izham Unnip Abdullah

Kiulu: Perubahan yang dilaksanakan sepanjang memimpin kerajaan adalah untuk menyediakan asas bagi melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi demi masa depan rakyat termasuk di kawasan luar bandar Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ia berbeza dengan pembangkang yang hanya pandai bercakap dan menghasut rakyat selain berjanji bermacam-macam tetapi tidak ditepati atau ditunaikan.

“Semua tahu kita bukan kerajaan yang hanya boleh berjanji tetapi tidak boleh ditunaikan, kita bukan cakap menghasut saja...itu pembangkang, tapi kita boleh buat perubahan.

“Sehingga hari ini, kita lihat masa depan...saya buat semua ini (perubahan) bukan untuk saya, saya menyediakan asas untuk melonjakkan negara ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika berucap di Program Tinjauan Pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Randagong di Kampung Pukak di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Kira-kira 5,000 penduduk dari sekitar Kiulu, Tamparuli dan Tuaran menyambut kehadiran Najib pada program itu.

Najib adalah Perdana Menteri pertama yang sampai ke Kiulu, kawasan pelancongan luar bandar yang terkenal sebagai lokasi aktiviti lasak berakit di Sungai Kiulu.

Perdana Menteri memberi contoh usaha kerajaan yang dilaksanakan di Kiulu menerusi pembinaan jalan baru sepanjang 60 kilometer menghubungkan Kota Kinabalu dengan Kiulu dan Ranau bakal membawa perubahan besar kepada rakyat kawasan itu pada masa depan.

Sementara itu, Najib berkata pelaksanaan projek jalan raya yang membabitkan kos RM288 juta selain projek lain seperti Lebuhraya Pan Borneo Sabah adalah bukti Barisan Nasional (BN) yang dipimpinnya tidak muflis seperti didakwa pembangkang.

“Madius rajin minta peruntukan dari saya, hampir setiap mesyuarat Kabinet ada surat...baru-baru ini sebanyak RM2.2 juta peruntukan untuk surau dan masjid di Tuaran serta RM2.5 juta untuk dewan gereja St John di Tuaran saya berikan...inilah kerajaan BN kita,” katanya.

Menurutnya, selama lapan tahun menjadi Perdana Menteri, beliau sudah banyak kali melawat Sabah berbanding Perdana Menteri sebelum ini yang pernah memerintah selama lebih 20 tahun.

“Saya ambil berat pembangunan luar bandar di Sabah, jalan ini (Jalan Telipok-Kiulu-Rondogung) dicadangkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7) dari tahun 1986 hingga 1990, waktu itu orang berkenaan menjadi Perdana Menteri.

“Hari ini orang itu tawar diri nak kembali jadi Perdana Menteri tetapi dia tak ambil berat orang Kiulu, orang sudah lama tunggu...apabila saya jadi Perdana Menteri baru lulus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 3:16 AM