JONISTON (dua dari kiri) menyerahkan tangki air kepada Pengerusi JKKK Medi Marimbang (kiri) di Kampung Tomis, Mangi Pangi, Kiulu.
JONISTON (dua dari kiri) menyerahkan tangki air kepada Pengerusi JKKK Medi Marimbang (kiri) di Kampung Tomis, Mangi Pangi, Kiulu.
Recqueal Raimi


Tuaran: Lebih 200 isi rumah membabitkan tujuh kampung di Kiulu, di sini, dilaporkan berdepan masalah air kritikal berikutan musim kemarau.

Ia membabitkan Kampung Bungoliu, Tomis Baru, Kelawat, Simpangan Lama, Balabakan, Tomis Mangi Pangi dan Bongol.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau memandang serius masalah itu dan antara cadangan penyelesaian sementara yang dikenal pasti setakat ini ialah menyediakan tangki air untuk menyimpan bekalan air di setiap kampung yang terjejas.

"Manakala untuk jangka masa panjang, cadangan penyelesaian ialah dengan menggunakan pam air secara efektif dari sumber air berhampiran.

"Tindakan segera perlu dilaksanakan untuk menangani masalah air yang semakin meruncing ini," katanya dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Joniston memohon semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kiulu yang terbabit dengan isu itu untuk memberikan laporan berkaitan cadangan penyelesaian sementara.

Sementara itu, penduduk Kampung Kionsom, Edry Simbun, 38, berkata, dia sekeluarga perlu berjimat menggunakan air yang disalurkan daripada Loji Rawatan Air Telibong.

"Ketika ini, ada kalanya bekalan air berkurang disebabkan tekanan terlalu rendah. Kami hanya menggunakan air dibekalkan apabila perlu sahaja.

"Kemarau yang melanda juga menyebabkan sumber daripada tadahan air bukit semakin berkurangan. Kami perlu mengumpul air sebagai persediaan sekiranya terputus bekalannya," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:00 AM