PREMIS pusat hiburan keluarga yang diserbu polis kerana beroperasi tanpa lesen dan menjalankan kegiatan perjudian di Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
PREMIS pusat hiburan keluarga yang diserbu polis kerana beroperasi tanpa lesen dan menjalankan kegiatan perjudian di Sungai Petani, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS menyerbu sebuah pusat hiburan keluarga (PHK) di Sungai Petani yang beroperasi tanpa lesen dan menjalankan kegiatan perjudian sejak tiga bulan lalu, hari ini.

Serbuan pada 5 petang itu dilakukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Operasi itu turut dilakukan ke atas sebuah PHK lain, namun memiliki lesen yang dikeluarkan Pejabat Daerah Kuala Muda.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, polis mengambil tindakan tegas ke atas premis tidak berlesen itu dengan merampas sejumlah mesin simulator dan wang tunai.

“Penjaga premis dan beberapa pelanggan turut ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Selain itu, PHK yang terdapat di beberapa daerah dalam negeri ini seperti di Sungai Petani dan Alor Setar sudah diluluskan lesen oleh pejabat daerah masing-masing sejak April lalu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mior Farid berkata, sebanyak 45 serbuan dan pemeriksaan membabitkan 133 tangkapan dijalankan bermula April hingga bulan ini ke atas PHK di negeri ini yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian.

“Dalam serbuan itu juga, polis merampas 99 buah mesin simulator dan wang tunai RM17,783.

“Pihak polis turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 11 (3) Enakmen Hiburan Negeri Kedah dan Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan perjudian, pihaknya akan mencadangkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melakukan pemotongan elektrik mengikut Seksyen 21 (a) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Selain itu, pihak polis juga mencadangkan kepada pejabat daerah berkenaan untuk membatalkan lesen hiburan yang dikeluarkan.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai untuk menyalurkan maklumat jika mendapati premis PHK menjalankan aktiviti berunsur perjudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 9:41 PM