NORAZUWAN (kiri), membuat cabutan nombor giliran. FOTO Mahzir Mat Isa
NORAZUWAN (kiri), membuat cabutan nombor giliran. FOTO Mahzir Mat Isa
Nazura Ngah; Veena Babulal; AhmadSuhael Adnan dan Esther Landau


SENARAI akhir calon yang layak bertanding pada pemilihan UMNO akhir bulan ini hanya akan dimuktamadkan Rabu ini.

Pengumuman senarai akhir calon akan dilakukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, yang dijangka dibuat pada hari sama.

Ketua Setiausaha Bahagian UMNO, Datuk Norazuwan Aziz, berkata pihaknya memerlukan masa dua hari untuk memproses dan menyaring bakal calon di Jabatan Insolvensi.

“Saya ingatkan wakil calon dan calon, ini bukan senarai mutakhir, mungkin akan berlaku nombor yang lompong atau kosong kerana kita belum menyelesaikan proses insolvensi bagi mana-mana calon yang didapati muflis selaras dengan Fasal 9 A Akta Pertubuhan tidak layak memegang jawatan.

“Mana-mana calon yang mahu menarik diri, boleh berbuat demikian sebelum Rabu ini,” katanya ketika membuat cabutan nombor giliran calon Jawatankuasa Puteri UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis cabutan nombor giliran, Norazuwan berkata, menjelang Rabu ini, kemungkinan jumlah calon akan berkurangan kerana hilang kelayakan bertanding atau menarik diri.

Bagaimanapun, katanya nombor giliran calon yang bertanding tidak akan berubah walaupun ada calon yang hilang kelayakan atau menarik diri.

Beliau berkata, kira-kira 23,000 calon bertanding untuk jawatan di semua peringkat bermula cawangan hingga ke Majlis Tertinggi (MT) dan seramai hampir 150,000 perwakilan akan mengundi pada pemilihan parti itu.

Diminta mengulas kemungkinan calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Mohd Jamal Md Yunos, yang kini menjadi buruan polis , tidak layak bertanding, Norazuwan berkata, ahli yang belum dibuktikan bersalah layak untuk bertanding jawatan dalam parti.

Terdahulu pada proses cabutan nombor giliran calon, bagi jawatan Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendapat nombor giliran pertama, manakala Khairy Jamaluddin (2), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (3), Mohamed Iqbar Maricair (4), Rahmat Azim Abdul Aziz (5), Rosile Saat (6) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (7).

Bagi jawatan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan mendapat giliran pertama , manakala Tan Sri Anuar Musa (2) dan Mohd Afnalizam Mohd Salim (3).

Jawatan naib presiden yang menyaksikan lapan calon bertanding, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperoleh giliran pertama, diikuti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (2), Syeikh Razali Syeikh Ahmad (3), Mohamad Shukri Roslan (4), Datuk Seri Mahdzir Khalid (5), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (6), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (7) dan Datuk Seri Ahmad Said (8).

Sementara itu, tiga calon mencabar jawatan Ketua Wanita UMNO, termasuk bekas ketua pergerakan itu, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang mendapat nombor giliran pertama, diikuti Datuk Dr Noraini Ahmad (2) dan Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Azizah Mohd Dun (3).

Jawatan Ketua Pemuda menyaksikan sembilan calon bertanding, antaranya Syed Rosli Syed Harman Jamalullail (memperoleh nombor giliran kelapan), Datuk Seri Mohd Jamal Md Yunos (6), Mohamad Shahar Abdullah (4), Khairul Azwan Harun (9), Wan Md Hazlyn Agyl Wan Hassan (3), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki (5), Mohd Noor Izzat Johari (7) dan Abdul Razak Mohd Yusof (2) dan Irwan Azhar Amin (1)

Dalam pada itu, Naib Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan, yang memperoleh nombor giliran kedua dicabar EXCO Puteri, yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa, Nor Hazreena Mohamad Hashim bagi jawatan ketua pergerakan itu.

Pemilihan jawatan tiga sayap akan dijalankan pada 23 Jun, manakala peringkat bahagian dan MT pada 30 Jun serentak di 191 bahagian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Jun 2018 @ 10:46 PM