HUSSIN (kanan) dan pegawainya memeriksa lesen penunggang motosikal dalam Ops Selamat 13 dan cegah jenayah di hadapan Sekolah Menengah Agama Mergong, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
HUSSIN (kanan) dan pegawainya memeriksa lesen penunggang motosikal dalam Ops Selamat 13 dan cegah jenayah di hadapan Sekolah Menengah Agama Mergong, Alor Setar, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


HANYA dalam tempoh dua jam, 30 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya dalam sekatan Ops Selamat 13/2018 dan Cegah Jenayah di hadapan Sekolah Menengah (SM) Agama Mergong, Alor Setar, hari ini.

Antara kesalahan dilakukan termasuk tiada lesen memandu dan tidak memperbaharui cukai jalan serta insurans ketika menunggang motosikal dan memandu kenderaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) Kedah, Deputi Superintendan Hussin Zamora berkata, saman dikeluarkan hasil semakan anggotanya menggunakan alat peranti peralatan sistem pembayaran kompaun dalam talian mudah alih (MCOPS) yang boleh mengesan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Beliau berkata, alat itu mampu mengesan saman tertunggak, semakan cukai jalan dan insurans, waran tangkap, lesen memandu dan hal berkaitan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan memasukkan nombor Mykad atau nombor visa bagi warganegara asing.

“Jumlah saman dikeluarkan hari ini membuktikan masih ramai pengguna jalan raya melakukan kesalahan terutama musim perayaan ini dan tindakan perlu diambil untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi bermula 2.30 petang hingga 6 petang membabitkan 12 anggota dan pegawai trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah serta dibantu empat penguat kuasa dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika operasi membabitkan kedua-dua hala iaitu Lebuhraya Sultanah Bahiyah di hadapan SM Agama Mergong.

Hussin berkata, dalam tempoh Ops Selamat sejak 8 Jun lalu, sebanyak 451 operasi dan pemeriksaan dilakukan di seluruh negeri bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, setakat ini, daerah Baling mencatatkan kemalangan paling tinggi di negeri ini diikuti Kuala Muda dan Kota Setar serta beberapa daerah lain.

“Kami jangkakan lebih banyak kenderaan akan berada di jalan raya berikutan musim cuti sekolah akan berakhir hujung minggu ini dan saya menasihatkan semua pengguna supaya mematuhi arahan ditetapkan.

“Mereka yang mengantuk atau letih ketika memandu dinasihatkan supaya berhenti berehat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan bagi mengelakkan kemalangan daripada terus meningkat,” katanya.

Hussin berkata, jalan negeri atau jalan persekutuan lebih cenderung berlaku peningkatan kemalangan jalan raya berbanding jalan kampung atau lebuh raya di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 10:57 PM