Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pengguna jalan raya berusia 15 dan 25 tahun mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi sepanjang musim perayaan Aidiladha dengan 60 peratus kes membabitkan penunggang motosikal.

Pengarah Kanan (Penguatkuasaan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, ini menunjukkan, lebih banyak perlu dilakukan bagi mewujudkan kesedaran berkaitan keselamatan jalan raya dalam kalangan golongan muda.

"Berdasarkan analisis terperinci berkaitan kumpulan umur, kebanyakan kemalangan maut membabitkan pengguna jalan raya berusia 15 dan 25 tahun, dengan 60 peratus daripadanya adalah penunggang motosikal.

"Ini menunjukkan tahap kesedaran golongan ini masih rendah. Kita perlu pertingkatkan advokasi keselamatan jalan raya untuk kumpulan umur ini kerana mereka adalah pengguna jalan raya teramai," katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Aidiladha di simpang empat Jalan Hospital Lama di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengarah JPJ Kedah Aman Shah Hashim dan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussain.

Operasi disertai 80 penguat kuasa pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pada operasi itu, 1,100 kenderaan diperiksa dengan 372 notis dan lima notis penyitaan kenderaan dikeluarkan.

DATUK Lokman Jamaan Said mengadakan sidang selepas Ops Hari Raya Aidiladha di Lebuhraya Darulaman hari ini. FOTO Syaharim Abidin
DATUK Lokman Jamaan Said mengadakan sidang selepas Ops Hari Raya Aidiladha di Lebuhraya Darulaman hari ini. FOTO Syaharim Abidin

PDRM dan JAS turut mengeluarkan notis saman dengan masing-masing 40 serta lapan kes atas pelbagai kesalahan jalan raya dan teknikal.

"Bagi tempoh tiga hari pertama operasi empat hari yang bermula 27 Jun lalu, hampir 35 peratus penunggang motosikal yang diperiksa didapati melakukan pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 153 motosikal disita sepanjang tempoh itu dengan 9,118 kes memandu tanpa lesen dan 1,987 kes menunggang motosikal tanpa perlindungan insurans," katanya.

Secara keseluruhan, 40,789 saman dikeluarkan sepanjang tempoh itu selain 201 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan termasuk gagal memperbaharui perlindungan insurans.

Pada mas sama, 15,254 saman dikeluarkan kerana memandu melebihi had laju.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 11:20 AM