Mohd Husni Mohd Noor


SATU lagi laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan tapak Bazar Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga Ketua Biro Integriti, Anti Rasuah & Salah Guna Kuasa Pemuda Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman bersama wakil pemuda PPPBM kebangsaan hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan laporan berkaitan skandal itu.

Dr Muhammad Faiz berkata, laporan berkenaan penting bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan sekali gus mencari dalang sebenar di sebalik skandal itu.

Menurutnya, pihaknya akui skandal berkenaan menjejaskan reputasi PPBM justeru, pihak parti tidak akan berkompromi terhadap mana-mana ahli parti yang terbabit dalam kes berkenaan.

"Kami memandang serius terhadap mana-mana ahli yang menggunakan jawatan politik untuk memohon tender membabitkan perniagaan samada ia dilakukan atas niat kebajikan mahupun kepentingan peribadi.

"Kami harap pihak berkuasa termasuk polis dan SPRM dapat mencari dalang sebenar kes itu. Tindakan disiplin akan diambil sekiranya benar ahli kami terbabit dalam skandal itu," katanya ketika ditemui di luar bangunan SPRM di Putrajaya.

Katanya, pihaknya difahamkan, satu laporan disiplin sudah dikemukakan oleh bahagian PPBM Bukit Bintang berhubung skandal itu.

Dr Muhammad Faiz berkata, pihaknya turut melakukan siasatan dalaman diperingkat parti namun, siasatan sebenar masih bergantung kepada pihak polis dan SPRM.

Semalam, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menghantar laporan sama berkaitan skandal itu kepada SPRM.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan bagi mendapatkan 80 tapak bazar di Jalan Masjid India membabitkan Ketua Pemuda PPBM Bukit Bintang, Mohd Noorhisyam Abdul Karim.

Difahamkan, tapak bazar itu kemudian disewakan semula sehingga RM5,000 bagi satu lot dan dianggarkan mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 8:37 PM