DUA kereta yang disyaki digunakan untuk menyeludup petrol ke Thailand. FOTO Ihsan KPDNHEP.
DUA kereta yang disyaki digunakan untuk menyeludup petrol ke Thailand. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Siti Rohana Idris


PIHAK berkuasa merampas dua kenderaan disyaki digunakan penyeludup untuk menyeludup petrol ke Thailand, dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Simpangan, Tumpat pada 7 malam semalam.

Serbuan oleh anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, pasukan mengesan stor itu berdekatan pangkalan haram Mekza di tebing Sungai Golok, hasil maklumat dan risikan.

"Pemeriksaan lanjut dibuat dan menjumpai Proton Iswara dan Proton Saga yang dipercayai digunakan untuk mengangkut petrol seludup.

"Dalam Proton Iswara ditemui 25 tong berisi 625 liter petrol, manakala Proton Saga memuatkan 17 tong berisi 425 liter petrol, bersama 210 liter lagi di dalam tangki tambahan di bahagian bawah kereta itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azanizam berkata, pemeriksaan tidak menemui pemilik kenderaan mahupun individu yang mengaku miliknya dan semua rampasan dibawa ke markas PPM untuk tindakan lanjut.

Katanya, keseluruhan 1,260 liter petrol bernilai RM2,079 dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 12:31 PM