Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Seorang wanita menanggung kerugian RM4,100 selepas ditipu ‘lelaki Arab’ yang baru dikenalinya di laman sosial Facebook (FB), minggu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun yang juga suri rumah berasal dari Kuala Lumpur itu dipercayai didekati lelaki berkenaan menerusi FB, kononnya untuk mencari kenalan baru.

Menurut sumber, mangsa terpedaya dengan janji manis suspek yang mahu mengirim beg tangan, kasut dan wang tunai berjumlah lebih RM300,000 kepada suspek.

"Mangsa yang terpedaya kemudian dihubungi seorang wanita yang mengaku dari syarikat penghantaran di Johor memberitahu barang yang dikirim lelaki terbabit kepadanya sudah sampai.

"Bagaimanapun dia perlu membayar wang pelepasan cukai kepada syarikat berkenaan," katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian membuat pemindahan tunai sebanyak dua kali ke satu akaun yang diberikan wanita berkenaan.

"Selepas memasukkan RM4,100, syarikat penghantaran berkenaan meminta mangsa memindahkan wang sebanyak RM1,000 sebagai tambahan," katanya.

Katanya, mangsa mula mengesyaki dia ditipu selepas gagal menghubungi lelaki Arab yang dikenali sebelum itu.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 7:36 PM