GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Lelaki 'berputih mata' apabila wang untuk membeli kenderaan bernilai RM90,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan.

Mangsa yang berusia 36 tahun itu ditipu ketika dalam proses membeli Honda HR-V melalui ejen jualan kereta.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki warga tempatan berkaitan penipuan urusan jual beli kenderaan.

"Mangsa berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang mendakwa bekerja sebagai ejen jualan di sebuah syarikat kenderaan terkemuka di Jalan Damansara, di sini, 9 Januari lalu.

"Ketika itu, mangsa sudah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran berkenaan sudah diserahkan kepada pihak syarikat.

"Pada 29 April hingga 4 Mei pula mangsa membuat pembayaran secara tunai bernilai RM70,000 dan pindahan dalam talian sebanyak RM20,000 ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata, namun pada 11 Mei, mangsa menerima panggilan telefon daripada pengurus pusat pameran yang memaklumkan pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan.

Katanya, mangsa turut dimaklumkan bahawa suspek tidak lagi bekerja dengan syarikat mereka.

"Suspek bagi kes ini sudah dikenal pasti dan tindakan lanjut sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai diminta supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:45 PM