GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Shahrinnahar Latib


Pekan: Hasrat seorang kontraktor memiliki kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger Raptor dengan harga murah tidak kesampaian, malah menanggung kerugian RM14,412 apabila diperdaya dalam urusan jual beli kenderaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 3 Oktober lalu apabila mangsa berusia 53 tahun melayari Facebook dan terlihat satu iklan penjualan kereta terpakai Singapura.

"Mangsa berminat untuk membeli Ford Ranger Raptor berharga RM36,000 dan berhubung dengan seorang lelaki untuk bertanyakan mengenai cara pembelian.

"Suspek meminta mangsa memberikan gambar kad pengenalan, lesen memandu, salinan Suruhanjaya Sekuriti Syarikat (SSM) dan penyata bank untuk membuat pinjaman," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selepas berbincang mengenai harga dan cara pembelian, penjual berkenaan meminta mangsa membayar RM2,500 sebagai deposit pembelian pikap berkenaan.

Katanya, mangsa membuat bayaran pendahuluan itu sebelum suspek meminta wang lagi dengan pelbagai alasan seperti bayaran cukai jalan, insurans, pendaftaran serta tukar nama kenderaan berkenaan.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan dibayar mangsa sebanyak RM14,412. Selepas membuat bayaran berkenaan, suspek berjanji akan menghantar kenderaan menggunakan lori tunda dan memberikan nombor telefon pemandu lori berkenaan.

"Selepas itu, mangsa berhubung dengan pemandu lori berkenaan, tetapi suspek memberi pelbagai alasan sebelum kontraktor itu berasa ditipu dalam urusan jual beli itu.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda jika sabit kesalahan," katanya.

Justeru, beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dan berhati-hati dengan kumpulan sindiket seumpama itu.

Menurutnya, masyarakat seharusnya menyemak terlebih dahulu dengan polis sekiranya mengalami kes sebegini sebelum membuat sebarang transaksi meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 10:46 AM