Shahrinnahar Latib


EKSEKUTIF akaun di Bera bukan saja kempunan memiliki beg galas berjenama mewah malah kerugian RM7,200 selepas ditipu seorang wanita dalam urusan jual beli melalui laman sosial Instagram.

Pada 18 Januari lalu, wanita berusia 20-an itu dikatakan berminat membeli beg galas jenama Louis Vuitton (LV) dengan harga RM7,200 selepas melihat tawaran di akaun Instagram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian berhubung dengan penjual berkenaan melalui Instagram saja sebelum membuat pindahan wang RM7,200 ke dalam akaun diberi suspek.

“Suspek mendakwa ketika itu berada di Eropah dan akan pulang ke Malaysia pada 21 Januari lalu. Dia juga berjanji akan membuat penghantaran barangan kepada mangsa pada 22 Januari.

“Namun, pada hari yang dijanjikan, mangsa berhubung dengan penjual berkenaan di Instagram namun tiada jawapan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, kelmarin selepas menyedari ditipu,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang peniaga berusia 37 tahun di Kuantan kerugian RM6,800 selepas ditipu lelaki yang menawarkan jualan kereta yang tidak wujud dalam laman web jual beli, mudah.my.

Katanya, dalam kejadian pada Sabtu lalu, lelaki itu melayari laman web berkenaan sebelum melihat iklan jualan Proton Waja No Pendaftaran BKR 5977 yang dijual pada harga RM6,800.

“Pada hari sama, mangsa menghubungi seorang lelaki dan hasil perbincangan mangsa bersetuju membeli kereta berkenaan dan membuat tiga kali pembayaran seperti diminta oleh suspek melalui pindahan ke dalam akuan yang diberikan.

“Selepas itu, mangsa diminta mengambil kereta di Batu Caves, Selangor. Semalam, mangsa sampai di sana namun gagal menghubungi suspek selepas talian telefon disekat,” katanya.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu datang ke IPD Kuantan untuk membuat laporan polis dan kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 12:19 PM