ABDUL Razak (kiri) menyerahkan kotak #HMKotak Rezeki2018 kepada tenaga pengajar Maahd Tahfiz al-Quran Ibtida Ad-Diniyyah di Indera Mahkota 2.  -Foto MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
ABDUL Razak (kiri) menyerahkan kotak #HMKotak Rezeki2018 kepada tenaga pengajar Maahd Tahfiz al-Quran Ibtida Ad-Diniyyah di Indera Mahkota 2. -Foto MUHAMMAD ASYRAF SAWAL
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


HANYA syukur dan terharu dizahirkan tenaga pengajar Maahad Tahfiz al-Quran Ibtida Ad-Diniyyah, di Indera Mahkota, Kuantan, sebaik menerima sumbangan 10 #HMKotak Rezeki, hari ini.

Pengajar maahad itu, Abdul Hakam Mohamed Tarmizi berkata, pihaknya berbesar hati menerima sumbangan barang keperluan harian itu yang akan dimanfaatkan untuk keperluan 17 pelajar lelaki berusia sembilan hingga 15 tahun.

“Seperti yang kita tahu fadilat Ramadan besar ganjarannya dan sumbangan yang diberikan ini besar rahmatnya buat kami di sini.

“Hanya Allah saja yang mampu membalas jasa dan memberi ganjaran yang sepatutnya kepada pihak Harian Metro (HM) dan semua penaja atas sumbangan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Ketua Biro The New Straits Times Press Berhad (NSTP) Pahang, Abdul Razak Raaff dan disertai Penyelia Kurier Pos Laju Kuantan, Ismail Ayoub.

Tahun ini, sebanyak 50 kotak rezeki besar diagihkan kepada enam rumah dan pertubuhan kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Darul Nisa At Thohirah; Maahad Tahfiz Al-Quran Ibtida Ad Diniyyah dan Badan Kebajikan Anak Yatim & Miskin Nadwah, Penor, Permata Camar.

Turut menerima, Rumah Kebajikan Anak Yatim & Fakir Miskin Perempuan, Kampung Sungai Isap dan Pondok Nurul Iman, Pekan.

Sebanyak 700 kotak kecil pula diagihkan kepada anggota pasukan keselamatan dan pekerja Alam Flora.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Nisa At Thohirah, Maskhazila Ismail berkata, menerima sumbangan itu buat kali kedua dan sangat menghargainya kerana dapat dimanfaatkan 187 keluarga angkat yang juga golongan asnaf.

“Terima kasih atas sumbangan ini dan semoga Allah kurniakan ganjaran berlipat kali ganda kepada mereka yang menyumbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:03 PM