RAMAI penyumbang yang selama ini antara penggerak untuk membolehkan mereka beroperasi juga terjejas. FOTO Arkib NSTP
RAMAI penyumbang yang selama ini antara penggerak untuk membolehkan mereka beroperasi juga terjejas. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Pertubuhan yang menempatkan golongan kurang bernasib baik kebiasaannya akan menjadi sasaran golongan dermawan yang giat 'memburu pahala'.

Namun, penularan pandemik Covid-19 dalam tempoh lama sehingga menginjak dua tahun, menyebabkan pertubuhan berasaskan kebajikan ini turut terkesan.

Ini kerana ramai penyumbang yang selama ini antara penggerak untuk membolehkan mereka beroperasi juga terjejas.

Ikuti temu bual Harian Metro dengan pertubuhan seperti pusat tahfiz, rumah jagaan orang tua dan pusat orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang menceritakan kelangsungan mereka beroperasi sepanjang pandemik.

   

Kisah 1: Maahad Tahfiz An Nabawiyyah Lid Dirastil Islamiyyah (Maldi) Hulu Langat, Selangor

"Jika nak diikutkan apa yang dibayar kepada tenaga pengajar boleh saya katakan hanya saguhati sebab itu sahaja kemampuan kita," kata Pengurus Pentadbiran maahad berkenaan, Ustaz Wan Mohamad Abu Jandal Wan Mohd Noor.

Beliau mengakui operasi pusat tahfiz itu agak terkesan akibat tempias Covid-19, bukan sahaja dari segi sumbangan diterima, malah yuran pengajian.

Ini kerana, katanya, ramai ibu bapa pelajar berdepan masalah kewangan menyebabkan kesukaran membayar yuran.

"Sekarang pelajar tahfiz duduk di rumah, jadi kelas adalah dalam talian. Ibu bapa mereka ada sesetengahnya terpaksa kerja keras buat pelbagai kerja termasuk menjadi pekerja penghantaran...ramai (ibu bapa pelajar) yang diberhentikan kerja.

"Ini menyebabkan kami mengambil keputusan mengurangkan separuh jumlah bayaran yuran berbanding dikenakan sebelum ini. Yuran yang sebenar sebanyak RM300 sebulan.

"Jadi untuk tenaga pengajar, orang kata bukanlah gaji yang kita berikan kepada mereka, sebaliknya saguhati untuk barisan ustaz yang masih gigih untuk mengajar walaupun gaji terpaksa dipotong," katanya.

     

Kisah 2: Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum Malaysia)

Wabak Covid-19 memberi kesan kepada pertubuhan Perkum Malaysia yang banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai dan pelbagai syarikat korporat.

Presidennya, Mohammad Faiz Asangku Abdullah, 47, berkata, pihaknya kehilangan sekitar 70 peratus sumbangan sepanjang pandemik ini.

Katanya, pola itu juga dapat dilihat menerusi balasan surat permohonan meminta sumbangan yang dihantar pihaknya setiap bulan.

"Terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), contohnya setiap bulan jika kita menghantar 100 keping surat meminta sumbangan, hanya dua sahaja dapat jawapan positif," katanya.

Kisah 3: Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Pulau Meranti, Puchong

Beberapa langkah penjimatan terpaksa dilaksanakan rumah kebajikan ini berikutan kehilangan hampir 70 peratus sumber pembiayaan serta sumbangan sepanjang pandemik Covid-19.

Pengurusnya, Arif Azman berkata, antara langkah penjimatan itu ialah dari segi penyediaan makanan, ubat-ubatan serta makanan tambahan atau supplemen.

"Sebagai contoh vitamin C, kita ambil yang murah sikit, tetapi antara perbelanjaan yang mahal adalah kos rawatan.

"Kami kena pandai berjimat untuk elak kesukaran, kena cermat menjaga perbelanjaan," katanya yang menjelaskan antara sebab utama larangan program fizikal turut menyumbang kepada pengurangan sumbangan serta penajaan.

Arif berkata, buat masa ini seramai 45 penghuni membabitkan 20 lelaki serta 25 wanita berusia 56 tahun hingga 93 tahun menerima jagaan dan rawatan di situ.

Katanya, kebanyakan warga emas yang dijaga adalah kategori sakit terlantar yang tidak boleh menguruskan diri sendiri.

"Apa pun, kos operasi insya-Allah kita boleh uruskan," katanya.

Salurkan sumbangan anda ke Bank CIMB di nombor akaun 8604 3715 96 atas nama Pusat Tahfiz Annabawiyyah; ke akaun Bank RHB di nombor akaun 2143 9460 0064 22 atas nama Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia dan ke akaun Maybank 562777237353 atas nama Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Oktober 2021 @ 12:00 PM