Mercun dan bunga api bernilai RM20,000 yang dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi. FOTO ihsan polis
Mercun dan bunga api bernilai RM20,000 yang dirampas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi. FOTO ihsan polis
Mohd Sabran Md Sani

POLIS menahan empat individu termasuk dua warga asing dan merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai RM20,000 di sebuah tapak bazar Ramadan di Kota Tinggi, Johor sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata individu berusia 17 hingga 40 tahun ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 9 malam.

Katanya, tangkapan susulan maklumat dan risikan terhadap penjualan barang terlarang terbabit.

“Bertindak di atas hasil maklumat dan risikan kegiatan penjualan mercun, sepasukan anggota IPD Kota Tinggi membuat serbuan dan tangkapan di bazar Ramadan Pusat Perdagangan Kota Tinggi.

“Semua suspek dan barang rampasan 254 kotak mercun serta bunga api yang dirampas dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut,” katanya.

Ahsmon berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 5:43 PM