Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar. FOTO E-mel
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar. FOTO E-mel
Muhammad Mustakim Ramli


TINDAKAN Barisan Nasional (BN) Perlis mahu menghantar 11 nama calon Menteri Besar dikhuatiri menambah kemurkaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, langkah berkenaan seakan cuba mencabar keputusan yang dibuat Tuanku yang telah memberi perkenan kepada perlantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua Khamis lalu.

“Tindakan ini akan mengeruhkan lagi keadaan, ia akan menyebabkan kemelut perlantikan Menteri Besar menjadi lebih panjang.

“Jika dihantar semula lapan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ia boleh lagi diterima, tetapi 11 nama termasuk dua ahli Parlimen dan seorang ADUN bukan Islam ia seperti mencabar keputusan Raja Perlis,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Artikel 39(4) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri, Raja Perlis berhak melantik sesiapa sahaja sebagai Menteri Besar, tindakan menghantar 11 nama itu tetap tidak wajar.

“BN Perlis melanggar prinsip demokrasi kerana rakyat sudah memilih ADUN dan mereka ini yang akan mentadbir negeri.

“Ia menjadi sebaliknya apabila BN Perlis menghantar nama mereka yang bukan ADUN sebagai calon Menteri Besar,” katanya.

Rusdi berkata, jalan terbaik bagi menamatkan krisis Menteri Besar ini adalah melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Mungkin dengan cara ini sahaja dapat memuaskan hati semua pihak yang tidak bersetuju dengan pelantikan Azlan.

“PRN akan memberi kerugian besar kepada BN kerana dalam keadaan politik semasa tidak memihak kepada mereka sebaliknya kepada parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

“Sepatutnya kemelut ini boleh diselesaikan dengan baik demi kepentingan rakyat Perlis. Pemimpin politik perlu berjiwa besar dan mengetepikan agenda peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 9:24 PM