MOHD Akmal Muhamad (kanan) bersama rakan yang juga mangsa banjir di Changkat Lobak,Alor Pongsu,menjaring ikam didalam kebun kelapa sawit penduduk yang ditenggelami banjir. Gambar kecil, antara ikan yang dijala. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Akmal Muhamad (kanan) bersama rakan yang juga mangsa banjir di Changkat Lobak,Alor Pongsu,menjaring ikam didalam kebun kelapa sawit penduduk yang ditenggelami banjir. Gambar kecil, antara ikan yang dijala. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


DI SAAT orang lain sugul dan gelisah menghadapi banjir Bagan Serai, dua penduduk mengambil kesempatan mencari rezeki tambahan dengan menjaring ikan di kebun kelapa sawit yang dinaiki air.

Muhamad Amal Mohd Hashim, 24, bersama Sulaiman Jamaludin, 22, yang juga mangsa banjir di Changkat Lobak, Alor Pongsu, Bagan Serai, memasang jaring di kebun kelapa sawit yang ditenggelami air melebihi satu meter bagi mencari ikan untuk dijual.

Muhamad Amal berkata, air di Sungai Kerian yang naik sejak tiga hari lalu mengakibatkan ikan yang kebiasaannya berada di dalam terusan terlepas dan bergerak bebas ke kawasan penempatan dan kebun penduduk.

“Saya bersama rakan memasang tiga jaring pada waktu petang dan memeriksanya pada waktu pagi.

“Pelbagai jenis ikan seperti sepat, haruan dan puyu berjaya ditangkap dan semuanya kami jual kepada penduduk,” katanya ketika ditemui.

Dia berkata, selama tiga hari memasang jaring, dia dan rakan memperoleh hampir 10 kilogram ikan yang kebanyakannya dijual kepada penduduk dengan harga antara RM15 hingga RM25 sekilogram.

Katanya, kejadian banjir sudah biasa bagi penduduk, justeru mereka memanfaatkan bencana alam itu untuk mencari pendapatan tambahan.

Dalam pada itu, keadaan banjir di Alor Pongsu tidak menunjukkan tanda positif apabila tiga lagi keluarga mula dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak sekitar 11 pagi hari ini.

Jumlah terkini mangsa banjir ialah 38 orang membabitkan sembilan keluarga.

Dalam pada itu, Pengerusi Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari turut meluangkan masa menziarahi mangsa banjir dan menyampaikan bantuan kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 8:49 PM