FOTO ini dirakamkan pada 18 November, yang memaparkan pasukan keselamatan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Changkat Jong, Perak. FOTO Bernama
FOTO ini dirakamkan pada 18 November, yang memaparkan pasukan keselamatan memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir di Changkat Jong, Perak. FOTO Bernama

Ipoh: Jumlah mangsa banjir di Perak, hari ini, meningkat kepada 286 orang daripada 77 keluarga berbanding 280 semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Yahya Madif, berkata daripada jumlah itu 35 mangsa daripada 10 keluarga dari Batu 40, Bukit Merah, Bagan Serai, kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

“Enam belas penduduk daripada enam keluarga di Batu 38, Bukit Merah, pula ditempatkan di pusat pemindahan sama berikutan paras air di kedua-dua kawasan itu kini 0.9 meter,” katanya.

Yahya berkata, 68 orang daripada 19 keluarga di daerah Hilir Perak, membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Kampung Lorong Mesra, Batu 9, Lorong Kedah dan Kampung Baru Batu 8, kini ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong. Menurutnya, 22 mangsa daripada lima keluarga di Kampung Parit 7, Teluk Intan pula ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Ara, Teluk Intan.

“Enam puluh dua mangsa daripada 15 keluarga di Bagan Serai membabitkan Kampung Changkat Lobak, Matang Tengah dan Kampung Air Hitam ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak,” katanya.

Yahya berkata, hujan berterusan sejak petang Jumaat lalu, menyebabkan air naik setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter di kawasan terbabit, berpunca daripada limpahan air sungai berhampiran.

Sementara itu, 83 orang daripada 22 keluarga mangsa tanah runtuh membabitkan penduduk Kampung Padang Serai, Pengkalan Bharu ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Radhuaniah, Kampung Padang Serai. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 9:44 PM