KEADAAN banjir yang melanda sekitar Trong, Taiping, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Taiping Zone
KEADAAN banjir yang melanda sekitar Trong, Taiping, hari ini. FOTO Ihsan Facebook Taiping Zone
Muhammad Apendy Issahak


SEBUAH pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan banjir melanda sekitar Trong, Taiping bagi menempatkan 26 mangsa membabitkan tujuh keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, kejadian banjir membabitkan dua daerah iaitu di Taiping dan Batang Padang dengan bilangan penduduk dikhuatiri terjejas hampir 1,000 mangsa.

“Sehingga 11 malam tadi, sebuah PPS dibuka di Masjid Nurul Hidayah Sungai Bemban, Trong bagi menempatkan 26 mangsa membabitkan empat lelaki, sembilan wanita, enam kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

“Kampung yang terjejas adalah Sungai Punggur, Sungai Bemban dan Kuala Trong dengan paras banjir dilaporkan sedalam kira-kira satu meter,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, banjir melanda di beberapa kampung membabitkan Kampung Padang Gajah, Kampung Matang Merbau, Kampung Jawa, Kampung Batu Hampar, Kampung Padang Serai, Kampung Sungai Nyior, Sungai Limau, Sungai Rotan, Kampung Batu 25 dan 26 di kawasan Bukit Gantang, Taiping.

“Bilangan mangsa yang dipindahkan masih dalam tindakan di mana jumlah penduduk di kawasan berkenaan dianggar seramai 800orang (600 buah rumah).

“Air mula naik pada 6 petang tadi setinggi antara 0.3 hingga satu meter membabitkan kawasan seluas 500 hektar,” katanya.

Katanya, bagi daerah Batang Padang, banjir membabitkan kawasan Sungkai dengan kampung yang terjejas adalah Kampung Ladang Bikam dengan paras air dilaporkan setinggi 0.5 meter, namun semakin surut.

“Pembukaan PPS sedang diuruskan dan setakat ini banjir mengakibatkan 108 mangsa daripada 56 keluarga terjejas.

“Mangsa yang terjejas adalah 30 lelaki, 25 wanita, 25 kanak-kanak lelaki, 26 kanak-kanak perempuan dan dua bayi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 12:22 AM