LIMPAHAN air dari Sungai Batang Padang menyebabkan lima kampung di Teluk Intan terjejas banjir kilat hari ini. FOTO Ihsan APM.
LIMPAHAN air dari Sungai Batang Padang menyebabkan lima kampung di Teluk Intan terjejas banjir kilat hari ini. FOTO Ihsan APM.
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Limpahan air Sungai Batang Padang menyebabkan lima kampung di sini, terjejas banjir kilat, hari ini.

Susulan itu, pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap dibuka pada 3 petang menempatkan 63 mangsa daripada 20 keluarga yang terjejas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Hilir Perak berkata, limpahan air sungai menyebabkan kawasan penempatan penduduk di kampung berkenaan dinaiki air setinggi 0.3 meter.

Menurutnya, kampung yang terjejas membabitkan Kampung Sungai Rambai, Kunci Air 12 Headwork, Kampung Tanjong Keramat, Sungai Kucing dan Sungai Seluang.

"Mangsa yang dipindahkan ke PPS berkenaan terdiri daripada 23 lelaki, 21 wanita dan 14 kanak-kanak lelaki serta lima kanak-kanak perempuan.

"Paras air di rumah penduduk belum surut dan keadaan cuaca di lokasi setakat jam 7 malam adalah baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan secara berkala di lokasi dan setakat ini keadaan terkawal serta selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:24 PM