Anggota APM membantu memindahkan penduduk di Kampung Sungai Klah Baru di Sungkai hari ini. Foto Ihsan APM
Anggota APM membantu memindahkan penduduk di Kampung Sungai Klah Baru di Sungkai hari ini. Foto Ihsan APM
Muhammad Apendy Issahak


MANGSA banjir di Batang Padang membabitkan Kampung Sungai Klah Baru di Sungkai meningkat dengan seramai 72 penduduk daripada 26 keluarga dipindahkan pada hari ini.

Jurucakap Sekretariat Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah berkata, sebanyak 24 rumah di kampung berkenaan terjejas dalam banjir sehingga 7.20 malam.

Menurutnya, penduduk mula dipindahkan sejak awal pagi hari ini membabitkan 21 penduduk daripada tujuh keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Klah Baru.

“Lewat petang hari ini, jumlah mangsa yang terjejas semakin meningkat dan keadaan cuaca ketika ini masih hujan serta air semakin naik.

“Mangsa yang dipindahkan adalah 19 lelaki, wanita (23), kanak-kanak lelaki (12), kanak-kanak perempuan (4), warga emas lelaki (6), warga emas wanita (10) dan bayi perempuan (3),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, situasi di kawasan itu kini dipantau pelbagai agensi termasuk APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Punca banjir disebabkan hujan lebat berterusan sejak 6.45 petang hingga 12 tengah malam tadi dan kembali hujan pada 1.30 petang tadi hingga sekarang.

“Keadaan itu menyebabkan paras air Sungai Klah Baru meningkat sebelum melimpah ke kawasan beberapa rumah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 8:53 PM