SERPIHAN peluru berpandu ditunjukkan pasukan JIT  kepada media.
SERPIHAN peluru berpandu ditunjukkan pasukan JIT kepada media.
Saadiah Ismail

Kuala Lumpur: Kerajaan mengalu-alukan pendedahan oleh Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) bahawa peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada 2014 adalah daripada pasukan tentera Russia.

Wisma Putra pada kenyataan semalam berkata, penemuan itu menjadi antara bukti penting dalam siasatan jenayah dan akan mengkaji keputusan laporan itu dengan lebih teliti.

Selaras dengan pendedahan itu, kerajaan juga meminta saksi untuk tampil bagi membantu siasatan terhadap identiti individu yang terbabit secara langsung dalam melancarkan peluru berpandu berkenaan.

“Sebagai anggota JIT, kerajaan turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli JIT yang bekerja keras bagi membolehkan maklumat kritikal mengenai insiden tragik itu diperoleh.

“Kerajaan juga menyokong proses siasatan dijalankan dengan telus, bebas dan menyeluruh. Justeru kita berharap mereka yang boleh membantu dalam proses siasatan tampil dan memberikan bukti sokongan tambahan demi keadilan semua,” katanya.

PASUKAN penyiasat memeriksa bangkai  pesawat MH17.
PASUKAN penyiasat memeriksa bangkai pesawat MH17.

Wisma Putra juga menetapkan pendirian untuk mencari keadilan bagi mangsa MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 dan menuntut pendakwaan kepada pelaku terbabit.

“Ingatan dan doa kami sentiasa untuk setiap ahli keluarga yang terbabit, penumpang dan kru MH17. Kita seolah-olah ‘berhutang’ dengan mereka untuk memastikan keadilan dapat dicari,” katanya.

Kelmarin, pada sidang media di Belanda, JIT membuat kesimpulan bahawa BUK-TELAR yang menembak jatuh pesawat komersial itu berasal dari Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat ke-53 yang berpangkalan di Kursk di Russia.

Ia juga adalah sebahagian daripada angkatan tentera Russia.
Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu ditembak ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal, sebahagian besarnya warga Belanda, terbunuh selain 17 warga negara lain termasuk Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 6:10 AM