RANGKA pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai 2014.
RANGKA pesawat MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada Julai 2014.
Reuters

AMSTERDAM: Kerajaan Belanda yakin pihak berkuasa Russia bersedia untuk mengadakan perbincangan dalam masa terdekat, mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam nahas pesawat MH17 pada 2014.

Pasukan siasatan antarabangsa yang diketuai Belanda memutuskan pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia. Moscow menafikan sebarang pembabitannya.

“Kami sudah menghubungi Russia menggunakan saluran diplomatik dan yakin dapat berbincang dalam masa terdekat,” kata jurucakap Kementerian Luar Belanda.

Pesawat MH17 ditembak jatuh dalam wilayah dikuasai puak pemisah pro Russia di timur Ukraine pada Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, kira-kira dua pertiga adalah rakyat Belanda.

Pada Mei 2018, kerajaan Belanda dan Australia berkata, mereka mahu Russia bertanggungjawab ke atas kejadian itu selepas penyiasat berjaya mengesan sistem peluru berpandu BUK yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17. Sistem itu digunakan oleh Briged Anti-Pesawat ke-53, yang berpangkalan di Kursk, barat Russia.

Namun, Presiden Vladimir Putin, menolak dakwaan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 2:53 PM