Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


EMPAT suspek dikenal pasti sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada tahun 2014.

Ia didedahkan menerusi laporan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang menyiasat insiden berkenaan, dalam satu sidang media di Belanda, hari ini.

JIT memberitahu tiga suspek adalah warga Rusia, manakala seorang warga Ukraine. Mereka ialah Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov, dan Leonid Kharchenko.

Ketika kejadian, semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk.

“Igor, 49, yang berperanan sebagai Menteri Pertahanan Donetsk; Sergey, 57, pula Ketua Perisikan Donetsk; Oleg, 53, (Timbalan Ketua Perisikan), manakala Leonid, 47, pula Komander Lapangan.

“Igor adalah bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia, manakala Sergey serta Oleg adalah Pegawai Risikan Tentera Russia dan Leonid adalah bekas Komander Ukraine,” katanya.

JIT merumuskan empat suspek yang didedahkan semalam adalah hasil daripada maklumat dan bukti selepas pasukan itu menemu bual ratusan individu.

Waran tangkap antarabangsa terhadap keempat-empat suspek sudah dikeluarkan walaupun Rusia menegaskan untuk tidak bekerjasama dalam siasatan dan menyerahkan warganya itu untuk didakwa.

“Prosiding pendakwaan dijadualkan pada 9 Mac 2020 di Mahkamah Jenayah Belanda dan akan tetap dijalankan walaupun tanpa kehadiran suspek,” katanya.

Dalam sidang media khas itu juga, pasukan siasatan turut mendedahkan bukti perbualan telefon antara suspek Igor Girkin termasuk ‘Perdana Menteri’ Wilayah Donestk, Alexender Borodai dengan beberapa individu lain.

Pesawat MH17 meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Penyiasat sebelum ini memutuskan pesawat berkenaan ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK buatan Russia yang ditembak dari wilayah Ukraine yang dikuasai pemberontak disokong Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:23 PM