ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kilang perabot di Kawasan Industri Sungai Buloh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran kilang perabot di Kawasan Industri Sungai Buloh, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA pekerja sebuah kilang perabot di Kawasan Industri Sungai Buloh di Sungai Buloh, sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh Muhammad Hazrin Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.45 petang.

Menurutnya, seramai 30 pegawai dan anggota bersama enam jentera dari BBP Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik, BBP Shah Alam dan BBP Rawang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati api sedang marak menyebabkan keseluruhan kilang perabot terbabit musnah.

“Ketika kejadian, terdapat tiga pekerja berada di dalam kilang perabot berkenaan.

“Bagaimanapun, mereka sempat menyelamatkan diri dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa lebih dua jam untuk mengawal sepenuhnya kebakaran.

“Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 10:15 PM