ANTARA dadah yang dirampas. FOTO NSTP
ANTARA dadah yang dirampas. FOTO NSTP
Kalbana Perimbanayagam


POLIS menahan seorang lelaki dipercayai 'orang tengah' yang cuba menyeludup 2.65 kilogram dadah jenis kokain yang dihantar ke Australia menerusi sebuah syarikat kurier di Jalan Chan Sow Lin, di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Ia hasil maklumat diterima berhubung bungkusan terbabit yang dilabel sebagai alat ganti, sebelum polis menahan suspek berusia 23 tahun di rumahnya di Puchong Jaya, pada hari sama.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, suspek yang juga penganggur dipercayai berperanan sebagai orang tengah untuk membawa bekalan kokain ke Australia.

Katanya, lelaki itu dibawa ke syarikat kurier berkenaan kira-kira jam 2 petang sebelum polis menemui dadah yang disembunyikan di dalam lapan penyerap hentakan yang mahu dihantar ke satu alamat di Australia.

"Dadah yang dirampas dalam serbuan itu dianggarkan bernilai RM529,000 dengan harga pasaran kira-kira RM200,000 bagi setiap kilogram.

“Bagaimanapun, dadah itu tidak terkenal di pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini.

Kamarulzaman berkata, pihaknya percaya dadah itu tidak dihasilkan di dalam negara ini.

"Berkemungkinan besar Malaysia hanya dijadikan sebagai lokasi transit yang digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah antarabangsa untuk mengelak dikesan pihak berkuasa," katanya.

"Kami percaya suspek adalah orang tengah yang mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah lebih besar dalam negara dan di peringkat antarabangsa, " katanya yang memaklumkan bungkusan itu percubaan pertama lelaki berkenaan untuk menyeludup dadah.

Katanya, sepasukan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) dari IPD Cheras dan JSJN Bukit Aman melakukan dua serbuan di Jalan Chan Sow Lin, dan Puchong Jaya.

"Kami percaya ada lebih ramai warga tempatan yang mungkin terbabit dalam kegiatan ini dan berharap kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai aktiviti penyeludupan dadah supaya tampil membantu siasatan.

"Pada masa sama, kami masih menyiasat mengenai hubungan suspek dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan individu lain yang terbabit.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan didapati negatif dadah.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 7:04 PM