ISTANA Arau
ISTANA Arau
Muhammad Mustakim Ramli

Arau: Selepas dua minggu berteka-teki, majlis istiadat dan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis akan berlangsung pagi ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis menerusi surat edaran kepada media memaklumkan istiadat itu akan bermula jam 10.15 pagi di Balai Menghadap, Istana Arau, di sini.

Bagaimanapun, jemputan itu tidak menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bakal dilantik memegang jawatan berkenaan.

Jemputan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis itu menamatkan penantian selepas 14 hari negeri ini tanpa Menteri Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Barisan Nasional (BN) menang 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk, manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi tiga kerusi dan dua kerusi dimenangi PAS.

Walaupun boleh membentuk kerajaan, pelantikan Menteri Besar Perlis mengambil masa yang lama selepas Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menamakan adiknya, Datuk Ismail Kassim sebagai calon Menteri Besar yang baru.

Bagaimanapun, Datuk Seri Azlan Man yang juga Menteri Besar pada penggal lalu mendakwa tidak tahu mengenai cadangan berkenaan sehingga timbulnya krisis dan pelbagai khabar angin.

Susulan itu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah yang baginda memerlukan masa untuk mengenali senarai calon Menteri Besar dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dikemukakan oleh BN kepada pihak istana.

Pada Rabu lalu, Tuanku Syed Sirajuddin memanggil 10 wakil rakyat BN menghadap baginda dan difahamkan bertujuan mengenali lebih dekat semua wakil rakyat berkenaan.

Rentetan daripada itu, Pemangku Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Raja Perlis di Istana Arau, kelmarin bagi membincangkan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:40 AM