Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Seorang pedofilia warga emas berusia 68 tahun dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah terhadap enam pertuduhan mencabul dan melakukan kelucahan melampau terhadap empat kanak-kanak perempuan pada Mei lalu.

Hakim Kamaruddin Kamsun menjatuhkan hukuman itu terhadap Omar Yahaya dan memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tangkapan 18 Mei lalu.

Berdasarkan empat pertuduhan, tertuduh yang beralamat di Flat Kempas Permai, di sini, didakwa mencabul semua mangsa berusia 8, 9 dan 11 tahun dengan menggunakan kekerasan jenayah.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Blok C, Sri Tanjung, Jalan Denai, Kempas Permai pada jam 8 malam pada 15 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat.

Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan lain melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 9 tahun dengan memaksa mangsa memegang kemaluannya.

Dia yang didakwa mengakibatkan mangsa mengalami trauma melakukan perbuatan itu di pada masa, tarikh dan tempat sama.

Kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Taufik Saberi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 4:19 PM