H: Jo Anna dan Joniston bertembung

Oleh Recqueal Raimi

[email protected]

Pix Lano Lan & Recqueal Raimi

Tuaran: Pertembungan dua calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai dari Barisan Nasional (BN) dan Jo Anna Henley Rampas dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) mencuri tumpuan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens di sini.

Jo Anna, bekas juara Unduk Ngadau atau Ratu Kaamatan tiba di pusat mengundi itu pada jam 9.45 pagi dan ketika beratur, dia disapa oleh Joniston yang juga penyandang DUN Kiulu.

Joniston hadir di SMK Tun Fuad Stephens untuk melawat perjalanan proses pengundian selepas beliau mengundi di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Malangang Baru, Kiulu pada jam 9.15 pagi.

Kehadiran Jo Anna menarik perhatian ramai apabila ada pengundi mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya, namun Joniston tidak kurang mendapat tumpuan apabila pengundi dilihat bersalam dengan beliau sambil memberi kata-kata semangat.

Jo Anna dan Joniston dilihat berbual mesra dan saling bertanyakan khabar.

Dua lagi calon yang bertanding dalam saingan empat penjuru di DUN Kiulu ialah Terence Sinti dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Gaibin Ransoi mewakili Parti Cinta Sabah (PCS).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 4:52 PM