Shaik Hussein  (tiga dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian nelayan dari Unit Tanjung Berembang dan Parit Tok Mandin yang hadir di Simpang Tiga, Nibong Tebal.
Shaik Hussein (tiga dari kiri) beramah mesra bersama sebahagian nelayan dari Unit Tanjung Berembang dan Parit Tok Mandin yang hadir di Simpang Tiga, Nibong Tebal.
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Kemahiran berbahasa Tamil menjadi antara kelebihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Nibong Tebal, Datuk Shaik Hussein Mydin dalam mendekati rakyat terutama pengundi berbilang kaum di kawasan itu.

Shaik Hussein berkata, kelebihan berbahasa Tamil memudahkan beliau mendekati masyarakat India di kawasan ladang yang banyak di Nibong Tebal.

Katanya, usaha mengambil hati dan mendekati penduduk Nibong Tebal dilakukannya sejak lebih setahun lalu sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya tidak akan menjadikan kekalutan dalam kalangan pembangkang sebagai jalan mudah memenangi kerusi ini kerana yakin dengan hanya kerja keras saja Nibong Tebal kembali kepada BN.

“Rakyat boleh menilai sendiri hasil kerja saya sepanjang 14 bulan menjadi Pengarah Strategik BN Nibong Tebal dan berapa banyak program yang saya laksanakan untuk orang ramai,” katanya.

Beliau yang yakin untuk menang kali ini berkata, pihaknya menggunakan strategi bergerak di peringkat akar umbi dan berusaha mendekati seramai mungkin penduduk dengan masuk ke segenap kampung di Nibong Tebal.

Sementara itu, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Datuk Mohamed Sani Bakar berkata, status muka baru tidak menyebabkan beliau gentar berhadapan saingan empat penjuru di kerusi itu.

Katanya, beliau tidak mahu terlalu yakin untuk memenangi kerusi DUN Sungai Bakap namun yakin mampu mendapat sokongan rakyat yang mahukan perubahan di Pulau Pinang.

“Hampir 50 peratus penduduk di kawasan ini saya temui dan ia lebih mudah memandangkan saya berasal dan menetap di sini.

“Ramai yang ditemui menyatakan sokongan mereka kepada BN dan mengakui manifesto diumumkan kami lebih realistik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 6:03 AM