Zainal Abidin
Zainal Abidin
Siti Sofia Md Nasir

BARISAN Nasional (BN) akan diwakili calon muda bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal.

Sehubungan itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau sudah menyampaikan hasrat berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak dua tahun lalu.

Beliau juga sudah memperkenalkan calon baharu yang akan menggantikannya di kerusi Parlimen terbabit yang mendapat reaksi positif daripada masyarakat setempat.

“Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana bersetuju dengan cadangan saya untuk seorang muka baharu menggantikan saya di kerusi Parlimen Nibong Tebal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal Abidin berkata, beliau akan terus memberikan sepenuh usaha dan tumpuan untuk memimpin Jentera Pilihan Raya UMNO Pulau Pinang bagi mempertahankan tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN sedia ada, selain menambah dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN seperti disasarkan.

Zainal Abidin yang menyandang jawatan Pengerusi UMNO negeri sejak 2011 adalah Ahli Parlimen Nibong Tebal pada PRU 2004, tetapi tewas kepada calon PKR pada PRU-12 dan PRU-13.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 11:34 PM