PEGAWAI Teknikal/Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Kampung Acheh, Asisten Supritendan Abu Bakar Rohani (dua dari kanan) bersama anggota menunjukkan rampasan mercun di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Kampung Acheh, Sitiawan. -Foto NORSHARUDDIN SAPIAN
PEGAWAI Teknikal/Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Kampung Acheh, Asisten Supritendan Abu Bakar Rohani (dua dari kanan) bersama anggota menunjukkan rampasan mercun di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Kampung Acheh, Sitiawan. -Foto NORSHARUDDIN SAPIAN
Norsharuddin Sapian


Gambar Norsharuddin Sapian

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 (W1), Kampung Acheh, Sitiawan berjaya merampas mercun bola bernilai RM60,000 yang disorok dalam sebuah stor ternakan ayam di Batu 10, Segari, Lumut, hari ini.

Komander PPM W1 Batu Uban, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, rampasan itu dibuat pada 9.45 pagi hasil maklumat diperoleh daripada orang awam.

Beliau berkata, sepasukan pegawai serta anggota kemudiannya membuat intipan selepas memperoleh maklumat itu, namun mendapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan berlaku.

“Pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah dalam ladang ternakan ayam itu dan menemui seorang lelaki berusia 46 tahun sebelum anggota membawanya memeriksa stor di kawasan itu.

“Anggota kemudian menemui 40 kotak mengandungi bahan letupan disyaki mercun bola yang disembunyikan di dalam stor itu,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM W1, di Lumut, hari ini.

Rosman berkata, suspek ditahan dan dibawa ke Markas Operasi PPM W1 untuk tindakan lanjut manakala semua mercun berkenaan turut dirampas.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1975 dan siasatan awal mendapati mercun berkenaan dibawa melalui jalan darat dari negara jiran untuk dijual pada Aidilfitri ini.

“Ini adalah rampasan terbesar dilakukan PPM untuk tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 6:58 PM