MERCUN dan bunga api yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di sebuah rumah di Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Ihsan PPM
MERCUN dan bunga api yang dirampas oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di sebuah rumah di Kampung Koh, Sitiawan. FOTO Ihsan PPM
Noor Hidayah Tanzizi


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki serta merampas sejumlah 2,317 mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM180,000 di sebuah rumah di Kampung Koh, Sitiawan, semalam.

Dalam serbuan pada 6 pagi itu, suspek berusia 35 tahun terbabit menjadikan rumah keluarganya sebagai tempat simpanan barang larangan berkenaan.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui sejumlah mercun dan bunga api di ruang tamu serta dalam bilik rumah berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki itu sudah menyimpan bekalan itu sejak awal bulan ini.

“Jumlah rampasan keseluruhan barangan itu membabitkan pelbagai jenis mercun dan bunga api seperti mercun kek dan papan.

“Mercun dan bunga api itu dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan dan digunakan pada Tahun Baharu Cina ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Kampung Acheh bagi tujuan dokumentasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 7:54 PM