ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River membantu mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River membantu mengeluarkan mangsa yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan JBPM.
Rosman Shamsudin


Tapah: Seorang pemandu kereta maut manakala isterinya cedera selepas kenderaan yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 358.7 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, petang tadi.

Dalam kejadian terbabit, pemandu yang berumur 70 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian dan isterinya berumur 59 tahun cedera di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima laporan kejadian kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan kira-kira jam 5.25 petang tadi.

Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Plus Ronda berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan kepada kereta jenis Suzuki Swift yang mengalami masalah tayar pancit.

"Tiba-tiba datang sebuah kereta jenis Mazda CX-5 dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh yang dipandu mangsa melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda milik Plus terbabit.

"Akibat pelanggaran terbabit, kenderaan pacuan empat pula melanggar belakang kereta Suzuki Swift , manakala kereta Mazda CX-5 terbabas ke kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata kereta Mazda CX-5 yang terbabas itu kemudian dilanggar pula dari belakang oleh sebuah kereta jenis KIA Optima.

Pemandu serta penumpang kenderaan lain tidak mengalami kecederaan dan mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Tapah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian kemalangan maut terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Tapah, Inspektor Ruzainal Aman Ruslan di talian 012-4500968.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 10:30 PM