myMetro

Kuala Terengganu: Seorang pekerja chalet dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 472.09 gram.

Tertuduh, Mohd Shahareen Abdullah, 36, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39 B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang dibacakan di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 3,400 biji pil methamphetamine (pil kuda) seberat 472.09 gram di kawasan sebuah rumah di Marang jam 11 pagi 16 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Rozianti menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pekerja chalet disyaki pengedar dadah ditahan bersama 3,400 biji pil kuda bernilai RM34,000 dalam serbuan Op Tapis di sebuah rumah di Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:54 AM
MOHD Shahareen  tidak memberikan pengakuan di Mahkamah Majistret, semalam.
MOHD Shahareen tidak memberikan pengakuan di Mahkamah Majistret, semalam.