Suliman  bersama penduduk tempatan di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan dalam misi Kembara Kayuhan Solo   ke Makkah.
Suliman bersama penduduk tempatan di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan dalam misi Kembara Kayuhan Solo ke Makkah.
Suliman Abd Lah

“Diam tak diam sudah masuk hari ke-11 saya bermusafir dan berjauhan daripada isteri dan anak-anak tercinta demi menyahut panggilan ‘Labbaikallah, Humma Labbaik’.

Alhamdulillah, semalam saya menamatkan kayuhan sejauh 1,152.8 kilometer di Suphan Buri, Thailand.

Suhu semakin tinggi apabila saya bergerak ke wilayah utara Thailand. Pada Isnin lalu, suhu mencecah 36 darjah Celsius di Rachaburi. Tangan dan kaki saya mengeluarkan garam dan saya terpaksa makan buah-buahan untuk menyejukkan badan.

Saya juga terharu apabila kawan dan jiran dari Kulim, Kedah datang menjenguk saya 55 kilometer hendak sampai ke Suphan Buri bagi memberi sokongan kepada misi ini.

Saya disambut di Vasidtee City Hotel yang ditaja mereka untuk tempat saya bermalam.

Setiap hari saya menghubungi keluarga melalui panggilan WhatsApp kerana isteri dan anak-anak antara insan penguat semangat saya.

Selain itu, saya juga menerima kata-kata semangat daripada saudara-mara, guru, jiran, rakan sekerja dan kawan sama ada melalui aplikasi WhatsApp, Facebook dan Messenger.

 Suliman  bermalam di Masjid Pakistan di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan.
Suliman bermalam di Masjid Pakistan di Ratchaburi, Thailand pada hari kesembilan.

Begitu juga imam dan ahli kariah masjid di Thailand yang menjadi tempat saya beriktikaf. Penerimaan baik daripada warga Thailand cukup dihargai.

Rakyatnya menghormati orang asing. Di sepanjang perjalanan, kerap kali pemandu membunyikan hon tanda hormat dan memberi sokongan biarpun kenderaan mereka berada di laluan berlainan.

Setiap imam membenarkan saya beriktikaf dan menyediakan ruang sesuai untuk bermalam, malah ada yang menyediakan sarapan dan makan malam kerana meraikan dan memahami insan bermusafir.

Bab komunikasi pula, tiada masalah dan lancar, kadangkala ada orang Muslim yang boleh berbahasa Inggeris dan Melayu.

Menariknya jika pergi ke kedai runcit atau makan, orang Muslim dan bukan Muslim yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa berkenaan, mereka akan tunjuk kalkulator untuk memberi tahu nilai barang atau makanan yang saya beli.

Alhamdulillah, saya juga sempat meluangkan masa membaca al-Quran dan bersedekah di setiap masjid yang disinggahi sebelum keluar berkayuh ke destinasi seterusnya.

Insya-Allah, minggu depan saya memasuki Myanmar melalui Mae Sot.

Saya mohon rakyat Malaysia mendoakan perjalanan saya dipermudahkan terutama urusan kemasukan ke Myanmar agar berjalan lancar.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 4:23 AM