ZURAINI disahkan maut selepas terpelanting ke laluan bertentangan. FOTO NSTP
ZURAINI disahkan maut selepas terpelanting ke laluan bertentangan. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin


WANITA warga Malaysia maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang dibonceng bersama suami terbabit dalam kemalangan di Suphan Buri, Thailand, semalam.

Mangsa, Zuraini Mohd Nor, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala suaminya, Mahyadi Abdul Manan, 59, dilaporkan parah pada tangan dan kaki.

Media Thailand melaporkan pasangan berasal dari Malaysia berkenaan terbabit dalam kemalangan ketika berkonvoi bersama kira-kira 20 penunggang yang lain.

Timbalan Inspektor Balai Polis Daerah Muang, Suphan Buri, Leftenan Jeneral Saifon Lakphet berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku sewaktu pasangan itu menaiki motosikal model BMW R1200 dari Wilayah Kanchanaburi menuju ke Wilayah Tak.

“Apabila tiba di selekoh, motosikal ditunggang Mahyadi hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kejadian menyebabkan Zuraini terpelanting ke laluan bertentangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Manakala suaminya parah pada tangan kanan dan patah kaki.

“Mangsa di bawa ke hospital pusat Chao Phraya Yommarat untuk rawatan.

“Bagaimanapun, pihak berkuasa akan meneruskan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan itu berlaku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 12:04 PM