Muhammad Saufi Hassan


Tarim (Yaman): Perjalanan lebih 30 jam selain melepasi kira-kira 10 lokasi kawalan keselamatan. Itu yang saya lalui bersama kumpulan Misi Kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman.

Perjalanan itu turut membabitkan laluan darat sejauh kira-kira 850 kilometer membabitkan laluan merentasi padang pasir dan menuruni lereng bukit.

Merentasi dua negara iaitu Oman dan Yaman sudah mengambil masa lebih sehari memandangkan kami perlu memasuki negara berkenaan menerusi Oman selepas konflik tercetus dua tahun lalu di Yaman mengakibatkan faktor keselamatan terjejas.

Kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman bergambar di Tsamud iaitu sebuah daerah di Hadramaut, Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan
Kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman bergambar di Tsamud iaitu sebuah daerah di Hadramaut, Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Hampir semua lapangan terbang di Yaman ditutup sepenuhnya berikutan konflik terbabit dan hanya satu saja yang beroperasi iaitu Lapangan Terbang Antarabanngsa Aden yang terletak berhampiran Teluk Aden.

Bagaimanapun, harga tiket penerbangan untuk mendarat di lokasi itu adalah 30 kali ganda lebih mahal dan dianggarkan setiap penumpang perlu membayar kira-kira RM5,000 untuk satu perjalanan saja.

Pemandangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman ketika kumpulan misi kemanusiaan ke Yaman anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) tiba sebelum mengambil jalan darat ke Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan
Pemandangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat, Oman ketika kumpulan misi kemanusiaan ke Yaman anjuran Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) tiba sebelum mengambil jalan darat ke Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Kami terpaksa meredah suhu dingin malam di padang pasir sekitar 10 darjah celsius yang hanya diterangi dengan cahaya bulan dan bintang yang bergemerlapan.

'Lebuh raya' yang menghubungkan Oman dengan beberapa bandar di Yaman sepanjang 850 kilometer itu bukan seperti lebuhraya yang ada di Malaysia.

Laluan berliku, tidak diselenggara dan berdebu. Itu adalah situasi di sepanjang laluan dan kami terpaksa mengambil masa hampir 13 jam untuk sampai ke Tarim iaitu satu bandar di dalam wilayah Hadramaut.

Keadaan lebuhraya dari Salalah, Oman ke Tarim, Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan
Keadaan lebuhraya dari Salalah, Oman ke Tarim, Yaman. FOTO Muhammad Saufi Hassan

Tidak cukup itu, kami turut melepasi lebih 10 lokasi kawalan pasukan keselamatan membabitkan anggota tentera, polis dan imigresen.

Suasana kenderaan bersenjata yang diletakkan di bahu jalan manakala anggota keselamatan seolah-olah mengacukan senjata sambil melakukan pemeriksaan bukan pengalaman yang 'indah' buat kami memandang situasi itu jarang berlaku di Malaysia.

Saya juga sempat melihat pakaian seragam unik pasukan tentera iaitu baju celoreng lengkap bersenjata namun hanya memakai kain saja.

Ia pasti aneh jika dilihat di Malaysia, namun perkara itu adalah baju seragam biasa yang boleh dilihat di Yaman memandangkan pemakaian kain sebahagian daripada budaya mereka.

Namun ada peristiwa yang menarik apabila kumpulan misi menghampiri lokasi kawalan pertama ketika menghampiri sempadan Yaman menerusi Salalah, Oman.

Ketika itu, van yang membawa kumpulan misi ditahan oleh pasukan tentera Oman yang bersenjata dan turut kelihatan seorang anggota tentera bersiap sedia di atas sebuah kenderaan bersenjata dengan dilengkapi mesingun jenis .50 kaliber.

Van diarahkan berhenti di bahu jalan, manakala penumpang termasuk penulis diarah keluar supaya pemeriksaan dilaksanakan.

Saya ketika itu memegang pasport Malaysia dan seorang tentera dipercayai berstatus pegawai meminta untuk menyemak pasport.

"Your passport (pasport awak).."

Saya menyerahkan pasport dan pegawai tentera berkenaan memeriksa dan apabila membuka helaian pertama iaitu kad cip biometrik pegawai berkenaan bertanyakan kepada saya adakah saya dari Malaysia.

"You from Malaysia? (Awak dari Malaysia?)"

Dalam keadaan itu, saya hanya menjawab saya dari Malaysia dan pegawai itu terus mengukir senyuman sambil menghulurkan tangannya memperkenalkan diri sebagai 'Mohammed'.

Mohammed kemudiannya mengucapkan selamat jalan kepada kami dan sempat menzahirkan bahawa Malaysia sebuah negara yang stabil dan rakyatnya begitu ramah.

Saya melihat pemeriksaan keselamatan itu seperti prosedur biasa di dua negara berkenaan iaitu di Oman dan Yaman.

Wartawan Harian Metro Muhammad Saufi Hassan bergambar di gurun di Tsamud iaitu sebuah daerah di Hadramaut, Yaman ketika berhenti rehat dalam misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman.
Wartawan Harian Metro Muhammad Saufi Hassan bergambar di gurun di Tsamud iaitu sebuah daerah di Hadramaut, Yaman ketika berhenti rehat dalam misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman.

Perjalanan melebihi 30 jam itu selesai sebaik saya melihat papan tanda Tarim dan kami menarik nafas lega selepas seharian menghuni van ditemani dengan lebuh raya yang berliku.

Sementara itu, ketiadaan bekalan air bersih, kurang bekalan makanan berkhasiat selain kemusnahan infrastruktur asas termasuk sekolah dan hospital membelenggu Yaman.

Masalah itu berlaku sebaik konflik antara kumpulan pemberontak Houthi dan pemerintah diwakili Abd Rabbo Mansour Hadi tercetus sejak dua tahun lalu.

Kemusnahan berkenaan mengakibatkan penularan wabak penyakit dan keadaannya bertambah buruk apabila bekalan ubat-ubatan turut berkurangan termasuk antibiotik untuk melawan wabak yang menular.

Tambah menyedihkan, lebih 370,000 kanak-kanak di ambang maut akibat masalah kurang nutrisi makanan dan jika tiada bantuan dihulurkan dalam tempoh terdekat, mereka mungkin menjadi korban akibat konflik terbabit.

Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zulkifli Wahijan berkata, apa yang berlaku di Yaman adalah satu isu besar namun tidak didendangkan di kebanyakan media antarabangsa.

Misi kemanusiaan ke Yaman diketuai Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zulkifli Wahijan (dua dari kiri). FOTO Muhammad Saufi Hassan
Misi kemanusiaan ke Yaman diketuai Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) Zulkifli Wahijan (dua dari kiri). FOTO Muhammad Saufi Hassan

"Ini satu isu yang besar, ramai orang tidak tahu. Kini, 23 juta rakyat Yaman secara keseluruhan memerlukan bantuan daripada segenap aspek termasuk perubatan, ubat-ubatan dan makanan berkhasiat.

"Selain itu, tiga juta lagi rakyat Yaman kehilangan tempat tinggal akibat konflik antara Houthi dan kerajaan Yaman tercetus. Mereka ini kekurangan bekalan ubat yang sangat serius," katanya.

Menurutnya, krisis yang berlaku di negara ini bukan isu biasa dan memerlukan perhatian daripada pelbagai pihak kerana kemusnahan yang dialami terlalu teruk.

Katanya, lebih 1.8 juta kanak-kanak diancam pelbagai wabak dan golongan ini mungkin akan terkorban jika tiada pertolongan diberikan.

"Kanak-kanak ini akan mati, jika tidak mati akibat peperangan, mereka akan mati akibat penularan wabak dan kekurangan bekalan perubatan.

Konflik di antara kumpulan
Konflik di antara kumpulan

"Ini yang amat menyedihkan kita. Konflik ini akan mengorbankan lebih ramai kanak-kanak," katanya.

Beliau turut memohon orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank (564490413882), Bank Islam (14014010147470) dan Bank Muamalat (14010007654717).

Berdasarkan laporan WHO dan UNICEF menyatakan rakyat di Yaman berdepan dengan krisis kemanusiaan paling buruk pernah direkodkan apabila kekurangan bekalan makanan berkhasiat dan bantuan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 11:49 PM
Kenderaan yang digunakan kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman.
Kenderaan yang digunakan kumpulan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke Yaman.