ABD Hamid
ABD Hamid
Sabaruddin Abd Ghani

Baling: Tidak pernah gagal menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihan raya umum sejak 1959.

Itu antara semangat patriotik seorang warga emas di Kampung Jawa Kuala Ketil di sini, yang tidak sabar untuk mengulanginya buat kali ke-14 tahun ini.

Abd Hamid Mohd Noor, 73, berkata walaupun sudah dimamah usia namun tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia untuk keluar mengundi tetap dilaksanakan.

“Saya tidak pernah ketinggalan mengundi sejak pilihan raya umum yang pertama diadakan pada 1959. Ketika itu usia saya 26 tahun dan saya tinggal di Anak Bukit di Alor Setar.

“Saya tidak sabar untuk mengulanginya kali ini walaupun pada usia 73 tahun,” katanya ketika ditemui semalam.

Mengimbau ketika keluar mengundi buat kali pertama, Abd Hamid berkata dia teruja dan bersemangat ketika melihat bendera parti bertanding berkibar buat kali pertama di pelusuk kampung.

Katanya, pada ketika itu penyokong dan calon parti yang bertanding cuma mengadakan ceramah politik di pentas selain lawatan ke kampung untuk menarik pengundi.

Abd Hamid yang juga bekas tentera berkata, cara berkempen juga diadakan secara berhemah, tidak berlaku sebarang bentuk provokasi, fitnah dan kekecohan seperti yang berlaku dalam beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

Mengimbas suasana politik pada masa dulu, Abd Hamid berkata, ketika itu cuma tiga parti politik bertanding iaitu Perikatan (menggunakan lambang kapal layar), PAS (lambang bulan sabit) dan DAP (menggunakan lambang roket).

Namun, semua parti bertanding secara sihat dan saling menghormati antara satu sama lain ketika berkempen.

Bapa kepada tujuh anak, 32 cucu dan 20 cicit itu berkata, beliau dan keluarga tidak mungkin ‘beralih selera’ menyokong parti lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:19 AM