TORJI teruja untuk keluar mengundi di Sekolah Menengah Agama Kanchong Darat, Kuala Langat, esok. FOTO Norrasyidah Arshad
TORJI teruja untuk keluar mengundi di Sekolah Menengah Agama Kanchong Darat, Kuala Langat, esok. FOTO Norrasyidah Arshad
Norrasyidah Arshad


PESARA polis Torji Suat teruja untuk keluar mengundi di Sekolah Menengah Agama (SMA) Kanchong Darat, Kuala Langat, untuk kali ke-14, esok.

Beliau yang kini berusia 92 tahun tidak pernah culas menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia sejak Pilihan Raya Umum (PRU) pertama pada 1955.

Torji berkata, walaupun banyak perubahan suasana mengundi berlaku sejak dahulu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mengundi.

“Kali pertama atuk mengundi pada 1955, dan tempat membuang undi adalah di Balai Raya Kampung Kanchong Darat. Ketika itu, atuk hanya mengayuh basikal untuk ke balai raya terbabit.

“Esok kali ke-14 atuk mengundi, tetapi terpaksa menumpang anak-anak ke tempat pengundian kerana tidak dapat berjalan selepas terjatuh di rumah, 12 tahun lalu.

“(Perbandingan) PRU dahulu dengan sekarang sangat berbeza bukan sahaja daripada segi bilangan parti politik tetapi cara berkempen,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Langat.

Mengimbas kembali kenangan dahulu, Torji berkata, ketika PRU pertama kali diadakan, sifat teruja dalam dirinya sangat ketara memandangkan itulah kali pertama rakyat mengundi untuk memilih pemimpin.

“Pagi-pagi atuk dah siap untuk pusat pengundian di balai raya kampung ini. Waktu tu tiada kereta atau motosikal di kampung ini, hanya basikal sahaja untuk ke mana-mana.

“Ketika PRU pertama juga tidak banyak parti yang bertanding, masa itu cuma ada Parti Perikatan (yang kini Barisan Nasional), Parti Islam Se-Malaya (PAS) dan parti Cina,” katanya.

Beliau berkata, keadaan politik kini sangat berubah berikutan beberapa faktor termasuk perebutan pangkat.

Katanya, semua pihak mahu memerintah hingga menyebabkan berlaku pergaduhan.

“Dahulu tiada pergaduhan dan PRU berjalan aman. Tapi kini kita lihat banyak berlaku pergaduhan sesama sendiri dan masing-masing sibuk untuk mengejar impian untuk menjadi menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 9:08 PM