PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  membuat persiapan untuk hari pengundian bagi parlimen Arau di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau hari ini. FOTO Bernama.
PETUGAS Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan untuk hari pengundian bagi parlimen Arau di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau hari ini. FOTO Bernama.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Semua pengundi, calon serta petugas dilarang memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti atau calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya di Sabah, jika mahu memasuki Pusat Mengundi esok.

Ia termasuk baju, topi, pelitup muka selain dilarang membawa bahan yang mempunyai imej sedemikian atau apa-apa bahan kempen serta sebarang slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata jika gagal mematuhi peraturan berkenaan, mereka boleh dihalang daripada memasuki Pusat Mengundi oleh petugas pilihan raya.

"SPR juga menyarankan semua yang terbabit dan hadir pada hari mengundi untuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa sanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.

"SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. l

Ikmalrudin berkata, tindakan boleh diambil terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan.

Pada masa sama, Ikmalrudin berkata, SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam ini, 18 November.

Beliau berkata, mereka perlu menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi selepas tempoh berkempen itu tamat.

"Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuk di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

"SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana ia satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 7:04 PM