Ahmad menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Akademi Al-Quran di Kompleks Islam Masjid At Taqwa Bandar Satelit Pasir Tumboh. FOTO Nik Abdullah Omar
Ahmad menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Akademi Al-Quran di Kompleks Islam Masjid At Taqwa Bandar Satelit Pasir Tumboh. FOTO Nik Abdullah Omar
Sharifah Mahsinah Abdullah

MENTERI Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan dakwaan kononnya beberapa pimpinan PAS Kelantan termasuk dirinya akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 sekadar khabar angin.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti belum lagi membuat pengumuman mengenai senarai calon itu.

“Apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa berita yang mengatakan saya, timbalan saya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan beberapa pemimpin kanan negeri akan bertanding bagi kerusi Parlimen hanya sekadar khabar angin.

“Kami masih merahsiakan senarai calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan dan pengumuman calon agak lewat sedikit kerana ia sebahagian dari strategi PAS Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Akademi Al-Quran di Masjid At Taqwa di Bandar Satelit Pasir Tumboh, di Kota Bharu, hari ini.

Sebelum ini khabar angin mengatakan beberapa pimpinan PAS Kelantan bakal bertanding kerusi Parlimen termasuk Ahmad di Parlimen Tumpat, Mohd Amar (Pengkalan Chepa), Datuk Abdul Fattah Mahmood (Tanah Merah) serta Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Kubang Kerian).

Mengulas mengenai manifesto PAS Kelantan, Ahmad berkata, satu taklimat akan diberikan kepada pimpinan negeri pada Ahad ini (15 April) sebelum diserahkan kepada PAS Pusat.

“PAS akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu selepas itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 8:23 PM