YUSUF (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas daripada seorang lelaki cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Jalan Temelong, Bentong. FOTO ihsan polis
YUSUF (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah dirampas daripada seorang lelaki cuba melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Jalan Temelong, Bentong. FOTO ihsan polis
Shahrul Nizam Mohamad


PENGEDAR dadah diberkas ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Temelong-Bentong, Bentong, Khamis lalu.

Suspek berusia 20 tahun itu diberkas selepas bergelut dengan pegawai dan anggota polis yang mengejar motosikal ditunggangnya.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata, suspek dipercayai baru memperoleh bekalan dadah ketika kejadian.

“Suspek membuat pusingan U sebaik melihat pegawai dan anggota kami sedang melakukan sekatan jalan raya dan tindakan itu mengakibatkan pegawai dan anggota kami berasa curiga serta mengambil keputusan untuk mengejar suspek.

“Berlaku pergelutan ketika pegawai dan anggota kami cuba memberkas suspek, namun hasil kecekapan mereka, suspek ditahan dan kami merampas satu beg sandang mengandungi pelbagai jenis dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, hari ini.

Yusuf berkata, hasil pemeriksaan dijalankan pada beg sandang itu, polis menemui heroin seberat 453.20 gram (g), lapan paket plastik lutsinar berisi dadah dipercayai jenis syabu seberat 104.90g.

Beliau berkata, nilai dadah dirampas dianggarkan RM9,000 dan pihaknya menyita motosikal milik suspek berasal dari FELDA Chemomoi itu.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

“Suspek kini direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 8:19 PM