GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazsyah Abdul Rahman


LELAKI ditahan selepas memberitahu membawa bom dalam kejadian di Kaunter Kelas Perniagaan Lapangan Terbang Sandakan, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, suspek berusia 42 tahun yang dipercayai ingin menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur ditahan kerana melakukan ugutan jenayah.

Difahamkan, ketika mendaftar masuk dan ditanya petugas lapangan tebang berhubung isi barang dibawa di dalam bagasinya, pada awalnya suspek memberitahu ia makanan kering namun sebaik ditimbang dan melebihi had berat.

Bagaimanapun, selepas ditanya sekali lagi isi barang terbabit beberapa kali, lelaki itu menjawab membawa bom.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, sejurus menerima laporan itu, polis mengerahkan sepasukan Unit Pengesan Bom dan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk menjalankan siasatan.

"Sebaik tiba dan menjalankan pemeriksaan lanjut, beg terbabit disahkan tidak mengandungi bom. Suspek iaitu ahli perniagaan berasal dari Shah Alam dan bagasi miliknya dirampas lalu dibawa ke IPD Sandakan untuk tindakan lanjut.

"Lelaki terbabit disyaki marah apabila ditanya dan diperiksa isi beg berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 3:49 PM