ANGGOTA Unit Pemusnah Bom IPD Tawau memeriksa beg galas didakwa mengandungi bom, semalam. FOTO ihsan polis
ANGGOTA Unit Pemusnah Bom IPD Tawau memeriksa beg galas didakwa mengandungi bom, semalam. FOTO ihsan polis
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Padah bergurau kononnya beg galas dibawa mengandungi bom, seorang lelaki ditahan pihak berkuasa, pagi semalam.

Lelaki berusia 30 tahun berasal dari Semporna yang bekerja sebagai polis bantuan di Selangor itu ditahan susulan aduan dibuat kakitangan Lapangan Terbang Tawau pada 8.20 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek mendakwa terdapat bom dalam beg galas dibawanya ketika pemeriksaan di kaunter masuk syarikat penerbangan di lapangan terbang berkenaan.

Beliau berkata, ketika ditanya petugas kaunter berkenaan mengenai isi kandungan beg dibawa, suspek menjawab 'ada bom'.

"Bimbang dengan ugutan itu, petugas wanita berkenaan meminta bantuan pengawal keselamatan sebelum suspek ditahan.

"Walaupun suspek mendakwa hanya bergurau, pihak polis memandang serius tindakan lelaki terbabit yang boleh mencetuskan kegemparan awam terutama di lapangan terbang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Peter berkata, hasil siasatan lanjut unit pemusnah bom polis mendapati tiada sebarang bahan letupan atau bom di dalam beg suspek.

Beliau berkata, suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak membuat gurauan boleh mencetuskan situasi panik terutama di lapangan terbang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:51 PM