MENTERI Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Ampangan, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
MENTERI Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Barisan Nasional Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Ampangan, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


DAP menggunakan logo PKR untuk menarik pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akhirnya dilihat memakan diri dan memberi kerugian kepada parti itu.

Hari pengundian yang semakin hampir kini membuatkan DAP berada dalam keadaan kelam kabut disebabkan keputusan itu, apabila mereka terpaksa menggunakan dua logo iaitu logo roket dan PKR.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan DAP menggunakan satu logo iaitu logo PKR bagi mewakili partinya dibuat bertujuan memperdaya pengundi Melayu tetapi akhirnya mengelirukan pengundi Cina.

“Saya diberitahu ada bendera logo DAP dinaikkan dan dalam ceramah mereka juga bawa bendera logo DAP.

“Saya rasa Lim Kit Siang dah mula rasa menyesal. Dia ingat dulu pengundi Cina sudah masuk dalam poket dia tetapi sebenarnya pengundi Cina mula keliru. Orang di bandar mungkin faham tapi orang di luar bandar tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Rakyat di Taman Ampangan, malam ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza dan DUN Lenggeng, Mazalan Maarop.

Mohamad berkata, perbuatan DAP yang dikatakan membawa logo mereka pada ceramah dan program jelajah pakatan pembangkang adalah melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dalam PRU14 ini pembangkang guna satu logo iaitu PKR kerana pakatan pembangkang bukan parti berdaftar macam BN, mereka tidak boleh bawa bendera lain selain PKR.

“Saya rasa mereka ini dah macam kena perangkap sendiri (terdesak),” katanya.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dikatakan mengarahkan seluruh jentera pilihan raya DAP untuk mengedar logo roket bersama logo PKR dan ia satu tindakan yang dianggap terdesak serta berisiko tinggi.

Malah, sebelum ini, Pengasas DAP, Chen Man Hin, pernah tampil menyatakan rasa kurang senang dan sedih dengan keputusan bertanding tanpa menggunakan logo roket.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 9:33 AM