Ramasamy. FOTO MIKAIL ONG
Ramasamy. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Muhammad Yusri Muzamir


Butterworth: Bekas Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy tidak kisah digelar 'anggur masam' susulan tindakannya melepaskan semua jawatan dan keluar daripada DAP hari ini.

Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai itu turut menegaskan beliau tidak mempunyai pilihan lain dan berharap dapat berfungsi dalam persekitaran politik tanpa kekangan.

"Tindakan menggugurkan saya bukanlah suatu isu, namun bagaimana ia dilaksanakan yang penting. Ia adalah penyingkiran tanpa penghargaan kepada khidmat kami.

"Saya sedar mungkin tidak akan mempunyai tempat dalam DAP lagi pada masa hadapan. Namun, saya perlu berani membuat beberapa perancangan mengenai peranan dalam arena politik tanah air secara menyeluruh.

"Saya akan terus berjuang untuk menentang ketidakadilan, diskriminasi dan penindasan terhadap semua lapisan masyarakat serta golongan kurang bernasib baik," katanya pada sidang media di sini.

Timbalan Pengerusi DAP negeri itu memaklumkan sudah mengutus surat bagi tujuan itu kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, masing-masing pada jam 8.24 dan 8.25 pagi tadi.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mempertimbang faktor pimpinan DAP Pusat terlalu bergantung kepada' maharaja' yang menjadi punca krisis kepemimpinan DAP Pulau Pinang.

Beliau mengakui belum berhasrat menyertai mana-mana parti politik sedia ada mahupun menubuhkan parti baharu, selain menegaskan akan terus menyokong gabungan Pakatan Harapan (PH), terutama kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kon Yeow.

"Keputusan meninggalkan DAP sangat sukar kerana sudah menganggotai parti ini sejak 2005, selain mula aktif (dengan DAP) sejak masih berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia lagi.

"Namun, DAP bukan lagi parti dikenali ketika itu dan semakin kurang menghargai perbezaan pendapat dan sikap keterbukaan dari dalaman parti. Mereka yang bersuara menentang kerajaan dipandang sebagai pengacau serta mengganggu.

"Malah, senarai calon dikemukakan Kon Yeow diketepikan, selain ada kemungkinan beliau tidak memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh sepenggal, walaupun sudah diberi jaminan oleh pemimpin parti peringkat nasional," katanya.

Ramasamy dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II selepas menang di Parlimen Batu Kawan dan DUN Perai pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), pada 2008 dan berkhidmat sebagai wakil rakyat Perai selama 15 tahun.

Bekas ADUN Sabai yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang D Kamache; Naib Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY), K Jason Raj dan Ahli DAP Cawangan Taman Inderawasih, K Krishnasamy turut mengumumkan keluar daripada parti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:46 PM